Pages

Friday 17 September 2010

Kes Sosilawati: Mana suami Sosilawati menghilang



Kelibat suami Datuk Sosilawati Lawiya yang tidak kelihatan di rumah agam jutawan kosmetik itu di Taman Harmonis, Gombak, sejak wanita tersebut serta tiga yang lain dilaporkan hilang menjadi tanda tanya.

Malah, sejak berita pembunuhan pemilik syarikat Nouvelle Beauty Centre Sdn. Bhd. (Nouvelle Beauty) itu didedahkan, lelaki itu dikatakan tidak pernah muncul di rumah usahawan tersebut.

Bagaimanapun, seorang kenalan rapat keluarga Sosilawati yang ditemui di kediamannya hari ini memberitahu, lelaki yang dikenali sebagai Reecal itu ada menghubungi anak tirinya sejak pembunuhan jutawan itu di Banting, Selangor didedahkan Ahad lalu.

"Tetapi sejak berada di sini dua hari lalu, saya masih belum nampak kelibatnya. Anak-anak Sosilawati ada beritahu dia pernah menelefon untuk bertanya khabar," katanya.

Seorang lagi kenalan rapat keluarga itu menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) memberitahu Utusan Malaysia bahawa Reecal ada di ibu negara.

"Dia masih di Kuala Lumpur tetapi saya tidak mempunyai maklumat lanjut seperti nombor telefonnya," katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas ketika ditanya sama ada Reecal dan Sosilawati masih bergelar suami isteri sebelum wanita itu dilaporkan hilang.

Pada 3 Januari lalu, Sosilawati dalam satu sidang akhbar memaklumkan bahawa beliau berkahwin dengan lelaki itu yang juga seorang ahli perniagaan dari Indonesia pada 25 November tahun lalu di Songkhla, Thailand. ~utusan~

No comments:

Related Posts with Thumbnails