Pages

Wednesday, 8 September 2010

Kes sosilawati : Suami dengar suara cemas



KUALA LUMPUR: “Kau nak bawa aku ke mana ni?” Itu suara cemas Datuk Sosilawati Lawiya didengar kali terakhir suaminya melalui panggilan telefon yang dibuat jutawan kosmetik berkenaan sebelum ia terputus.
Suaminya, seorang ahli perniagaan dari Indonesia mendengar Sosilawati mengulangi pertanyaan itu berulang kali. Selepas panggilan telefon itu terputus, suami pengasas syarikat Nouvelle Visages (NV) itu cuba menghubungi telefon bimbit Sosilawati, namun gagal.

Sumber polis berkata, Sosilawati dipercayai cuba menghubungi suaminya yang berusia 40-an itu untuk meminta bantuan pada hari dia dilaporkan hilang.

“Difahamkan, dia turut menghantar SMS kepada anak sulungnya (Erni Dekritawati Yuliana Buhari, 25,) supaya tidak membenarkan seorang kenalan terdekatnya memasuki rumahnya di Gombak, Selangor.

“Malah, mangsa sempat menghantar SMS kepada anaknya mendakwa dia percaya gambar dirinya diambil secara curi atas motif tertentu,” katanya.

Difahamkan, polis sudah mengambil keterangan keluarga terdekat Sosilawati selain isteri peguamnya, Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dan isteri pegawai kredit CIMB Bank, Noorhisham Mohammad, 38, yang didapati hilang bersama jutawan terbabit pada 30 Ogos lalu.

“Berdasarkan siasatan, Sosilawati pernah beberapa kali pergi ke Banting, Selangor, untuk bertemu seorang peguam yang menguruskan soal jual beli tanah milik mangsa.

“Difahamkan, peguam warga tempatan itu pernah dilihat rakan karib Sosilawati bertemu peguam berkenaan. Malah, Sosilawati didakwa turut pernah mengambil beberapa cek daripada peguam berkenaan,” katanya.

Difahamkan, Sosilawati kali terakhir bertemu peguam berkenaan bagi menguruskan penjualan tanahnya di Pulau Pinang membabitkan nilai jutaan ringgit pada awal Ogos lalu.

Sementara itu, Erni Dekritawati menafikan keluarganya menawarkan sebarang wang tebusan bagi tujuan membebaskan ibunya daripada pihak yang melarikan mangsa bersama tiga individu lain.

Menurutnya, maklumat itu tidak tepat dan boleh memburukkan keadaan.
“Tiada sebarang tawaran wang tebusan disediakan dan kami meletakkan semua harapan kepada polis bagi menyiasat kes ini. Saya yakin polis melakukan segala yang boleh bagi menyelesaikan kes ini.

“Kami adik-beradik terus berdoa supaya emak selamat dan kembali semula ke pangkuan keluarga,” katanya.

Dalam kejadian jam 6 petang, 30 Ogos lalu, Sosilawati dilaporkan hilang selepas keluar dari pejabatnya di Jalan Raja Bot, Chow Kit, di sini, dipercayai hendak ke Banting, bagi menemui peguam di sana.

Bagaimanapun, Sosilawati yang menaiki dua kenderaan berasingan bersama tiga individu lain yang mempunyai kaitan dengan perniagaannya dilaporkan lesap sebelum anak mangsa membuat laporan kehilangannya di Balai Polis Dang Wangi di sini, Khamis lalu selepas ibunya tidak pulang ke rumah.

~ dipetik dari harian metro

No comments:

Related Posts with Thumbnails