Pages

Showing posts with label Misteri Sosilawati. Show all posts
Showing posts with label Misteri Sosilawati. Show all posts

Sunday, 19 September 2010

Kes Sosilawati : Taktik hapus bukti tak menjadi


PERISTIWA pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, dan tiga individu lain di Ladang Gadong dekat Tanjung Sepat, Banting, Selangor telah menyentak perasaan jutaan rakyat Malaysia.

Pembunuhnya dianggap kejam dan bersifat kebinatangan. Kesemua mangsa dipercayai dibunuh seorang demi seorang menggunakan besi pencangkuk dan tikaman bertubi-tubi pada perut.

Mayat mereka kemudian dibakar manakala abu mayat dibuang ke dalam sungai berhampiran.

Turut dibunuh bersama Sosilawati ialah pemandu peribadi, Kamaruddin Shansudin, 44, peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38.

Pihak polis telah menahan lapan orang suspek termasuk seorang peguam yang menggunakan gelaran Datuk palsu.

Para penyiasat yakin pembunuhan itu telah dirancang rapi. Ini termasuk mangsa dibenarkan atau mungkin juga dipaksa oleh penjenayah terbabit supaya menghubungi keluarga masing-masing pada malam 30 Ogos lalu bagi memaklumkan mereka tidak pulang ke rumah selama tiga hari kerana urusan kerja.

Ia bagi mengelakkan keluarga mangsa membuat laporan polis tentang kehilangan mereka dan membolehkan penjenayah terbabit menghapuskan barang bukti dalam tempoh tersebut.

Peguam itu, yang semestinya mahir selok-belok perundangan termasuk melupuskan barang bukti, dikatakan menjadi perancang utama kes pembunuhan berprofil tinggi itu.

Dia tentu mengetahui ketiadaan bukti fizikal akan menyukarkan pihak polis membuat pendakwaan di mahkamah.

Seperti yang digambar dalam siri drama penyiasatan popular, Crime Scene Investigation (CSI), penjenayah sedaya upaya menutup kesan khususnya bukti asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mengelakkan mereka ditangkap.

SUNGAI Panchau dipercayai lokasi abu mayat Sosilawati dibuang.

Secara umum, dalam sebarang proses siasatan jenayah terutama yang membabitkan kes bunuh, bahan bukti utama yang dijejaki oleh pakar forensik ialah DNA.

Keunikan DNA yang menjadi identiti biologi setiap individu yang berbeza membolehkan pihak berkuasa mengenal pasti suspek dengan mudah, sekali gus mempercepatkan penyelesaian siasatan sesuatu kes jenayah.

Penjenayah yang licik pasti menyedari hakikat ini. Malah, pensyarah Program Sains Forensik Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Zafarina Zainuddin berkata, DNA yang ditinggalkan di tempat kejadian boleh terjejas jika terdedah kepada persekitaran yang ekstrem seperti lembap atau panas melampau. Teori ini nampaknya sekali lagi digunakan dalam kes pembunuhan Sosilawati.

Wednesday, 15 September 2010

Kes Sosilawati : Bakar mayat tapi tak hapus bukti

KUNCI KERETA DITEMUI

Sepasukan polis menemui ‘objek’ dipercayai kunci kereta selepas dua daripada lapan suspek yang ditahan dibawa ke lokasi asal penemuan kereta mewah jenis BMW X5 milik jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya, 47 di Apartmen Angsana, USJ 1 di sini, semalam.

SELAM...anggota unit penyelam memeriksa kawasan Sungai Kanchong Laut tempat membuang abu mayat Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain.

Polis tiba di lokasi berkenaan kira-kira jam 7.25 malam sebelum dua suspek terbabit membawa mereka ke kawasan semak kira-kira 50 meter dari tempat letak kenderaan apartmen itu.

Selepas 30 minit, suspek berpakaian lokap terbabit berhenti sambil diiringi polis di satu kawasan sebelum pemeriksaan lanjut menemui objek dipercayai kunci kenderaan mewah berkenaan dipercayai dibuang suspek.

Sementara itu, semua mangsa dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, dan tiga lelaki lain dikatakan pada mulanya dipukul dengan kayu kriket dan senjata tumpul lain dengan tujuan melemahkan mereka sebelum tangan diikat menggunakan dawai.

Difahamkan semua mangsa yang dalam keadaan lemah itu dikatakan dibunuh seorang demi seorang dan tugas kejam terbabit diserahkan kepada seorang daripada lapan lelaki yang ditahan bagi membantu siasatan polis berhubung kes kehilangan empat mangsa itu.

“Tubuh mereka dilumur dengan tahi lembu sebelum semua mangsa dibakar bagi menghilangkan bukti kes pembunuhan kejam terbabit. ~myMetro~

Sunday, 12 September 2010

Sosilawati, tiga lagi mati disahkan dibunuh


Polis mengesahkan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, dan tiga orang lagi mati dibunuh dan kesemua mayat mereka dibakar sebelum abunya dibuang di sebuah sungai berhampiran Ladang Gadong, Tanjong Sepat di sini.

Bagaimanapun, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Zinin berkata, polis masih perlu mendapatkan pengesahan forensik untuk mengesahkan sepenuhnya perkara tersebut.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Daerah Banting di sini hari ini.

Tiga lagi orang ialah pemandu Kamaruddin Shamsudin, 44; pegawai bank CIMB Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38; dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.

Mereka dilaporkan hilang sejak 30 Ogos semasa berada di Banting untuk urusan pembelian tanah. – Bernama

waaahhh.. mudah sungguh mereka membuat perhitungan.. singkat sungguh pemikiran mereka.. semuanyer hanya kerana kehidupan duniawi yang sementara...
ishh.. dunia sekarang semakin kejam!!

Kes Kehilangan Sosilawati terjawab hari ini


Misteri kehilangan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga orang lagi dijangka diketahui hari ini apabila pasukan forensik polis membuat siasatan di sebuah ladang pertanian bersepadu.

Polis telah menyekat laluan masuk ke Ladang Gadong, di Jalan Gadong, Tanjong Sepat dekat sini sejak malam tadi dan tidak membenarkan media yang berkumpul di situ memasuki kawasan itu.

Salah seorang anggota polis yang bertugas memberitahu pemberita mereka diarahkan agar tidak membenarkan media masuk ke dalam kawasan itu.

Difahamkan pihak forensik dari Bukit Aman akan datang pagi ini untuk menjalankan siasatan ketika spekulasi kuat mengatakan bahawa keempat-empat mereka telah dibunuh dan mayat mereka dibakar.

Menurut seorang penduduk di kawasan berhampiran, ladang itu menjalankan pertanian bersepadu seperti ternakan ayam, lembu dan penanaman longan.

Sosilawati, 47, dan pemandunya Kamaruddin Shamsudin, 44, serta pegawai bank CIMB Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dilaporkan hilang sejak hampir dua minggu lepas semasa berada di Banting untuk urusan pembelian tanah.

Seminggu selepas itu, polis menemui kereta BMW milik Sosilawati di Pangsapuri Angsana USJ 1, Subang Jaya dan kereta BMW milik Ahmad Kamil di kawasan perumahan berhadapan sebuah hotel di Subang Jaya. – Bernama

Kes Sosilawati : Polis bawa suspek ke tempat kejadian


~gambar kediaman datuk sosilawati~

Pasukan forensik polis memasuki kawasan sebuah ladang pertanian bersepadu di Tanjong Sepat dekat sini bersama-sama dengan sekurang-kurangnya dua suspek yang dipercayai terlibat dengan kehilangan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga orang lagi.

Petugas media yang berada di jalan masuk ke Ladang Gadong melihat dua konvoi kenderaan dengan kawalan ketat polis memasuki kawasan itu, dan dua lelaki dilihat memakai pakaian lokap.

Menurut seorang anggota polis, mereka memasuki sebuah kawasan yang terletak kira-kira 100m dari jalan utama kawasan berkenaan, yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kehilangan pengasas syarikat kosmetik Nouvelle Visages (NV) itu.

Pasukan forensik turut ke sebuah restoran, terletak kira-kira empat kilometer dari ladang itu untuk menjalankan siasatan.

Helikopter polis juga dilihat berlegar-legar di kawasan itu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar memberitahu pemberita di Kuala Lumpur bahawa polis percaya kes itu dapat diselesaikan segera berikutan penangkapan sekurang-kurangnya empat lelaki.

Ismail enggan menyatakan identiti mereka yang ditahan, walaupun ada sumber menyatakan mereka termasuk dua orang peguam.

Terdapat spekulasi mayat Sosilawati dan tiga orang lagi yang hilang itu dibakar.

Seorang sepupu Sosilawati, yang ditemui di rumahnya di Gombak, berkata, polis ada menghubungi mereka tengah hari ini memaklumkan kemungkinan mayat jutawan itu ditemui di Tanjong Sepat.

"Mungkin kena buat DNA untuk sahkan itu mayat Datuk,” kata Elias yang enggan menyatakan nama penuhnya.

Bekas suami pertama Sosilawati yang dikenali sebagai Buhari dilihat memasuki rumah Sosilawati kira-kira pukul 12.30 tengah hari. – Bernama

Kes Sosilawati : Peguam, adik dan enam pekerja ditahan



Polis menahan seorang peguam bergelar Datuk dan adiknya serta enam pekerja kebun kelapa sawit milik mereka di mana jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi dipercayai dibunuh.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Zinin berkata, kesemua suspek dipercayai terlibat membunuh mangsa sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke dalam sebuah anak sungai berhampiran Ladang Gadong, Tanjong Sepat di sini.

Bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah Kuala Langat di sini, Mohd. Bakri berkata, polis membuat tangkapan pertama pada 10 September melibatkan lima orang.

Semalam, Datuk itu dan adiknya yang juga seorang peguam dan berpusat di sini ditahan, manakala seorang lagi suspek ditahan hari ini.

Beliau berkata, hasil penyiasatan polis, mereka mengaku bertanggungjawab dalam membawa kesemua mangsa ke kebun kelapa sawit itu seluas 1.6 hektar, sebelum memukul sehingga mati dan membakar mayat kesemua mangsa.

Selain Sosilawati, turut dibunuh pemandunya Kamaruddin Shamsudin, 44, serta pegawai bank CIMB Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.

Mereka dilaporkan hilang sejak 30 Ogos semasa berada di Banting untuk urusan pembelian tanah.

Bagaimanapun, Mohd. Bakri berkata, beliau tidak dapat mengesahkan tarikh sebenar kesemua mereka dibunuh, tetapi ia mungkin di antara tarikh mereka dilaporkan hilang pada 30 Ogos sehinggalah semalam.

Mengenai motif kejadian, beliau berkata, ia lebih ke arah saingan perniagaan dan urus niaga kewangan di antara suspek utama (kedua-dua peguam) dan Sosilawati. – Bernama

Sosilawati mati dibunuh di Morib ; Mayat dibakar di ladang ayam



Empat mayat dipercayai termasuk jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya (gambar) dan tiga rakannya yang dilaporkan hilang sejak 13 hari lalu ditemui dekat pantai Morib, Selangor semalam.

Kesemua mereka dibunuh dengan kejam sebelum dibuang dan dibakar di ladang ternakan ayam dekat Tanjung Layang, Morib.

Setakat ini polis sudah menahan enam individu berhubung penemuan mayat-mayat tersebut.

Motif pembunuhan belum dapat dipastikan.

Kehilangan Sosilawati, 47, bersama tiga lelaki lain dipercayai didalangi seorang ahli perniagaan bergelar ‘Datuk’ yang dikatakan individu terakhir yang ditemui jutawan kosmetik itu ketika urus niaga tanah dijalankan di Banting, Selangor pada 30 Ogos lalu.

‘Datuk’ berkenaan yang mempunyai ramai kenalan di kalangan orang kenamaan dipercayai berperanan sebagai broker dalam penjualan tanah bernilai RM4 juta di Pulau Pinang.

Satu sumber memberitahu, ahli perniagaan itu dipercayai mempunyai banyak petunjuk bagi membantu siasatan kes, termasuk mengesan lokasi keempat-empat mangsa disembunyikan.

“Dia dikatakan pernah terbabit dalam kegiatan penipuan jual beli tanah, dipercayai didalangi sindiket terancang. Malah, beberapa laporan polis pernah dibuat terhadapnya sebelum ini berkaitan urus niaga tanah.

“Difahamkan, ahli perniagaan terbabit mahir ‘menghilangkan’ pelanggannya,” kata satu sumber ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.

Jelasnya, sebelum ini dua pelanggan dilaporkan hilang selepas mengadakan urus niaga tanah dengannya dan sehingga kini masih belum ditemui, namun lelaki tersebut menafikan semua dakwaan itu.

Ujar beliau, maklumat turut menyatakan ahli perniagaan itu sering terlepas daripada tindakan undang-undang kerana mempunyai hubungan istimewa dengan orang kenamaan, selain mahir dalam bidang perundangan.

Sosilawati yang merupakan pengasas produk kecantikan Nouvelle Visages dilaporkan hilang pada 30 Ogos lalu.

Turut hilang ialah peguamnya, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32; pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38; dan seorang lelaki, Kamaruddin Shansuddin, 44, yang dikatakan pemandu peribadi jutawan itu.

Sementara itu, tinjauan Kosmo! Ahad ke rumah Sosilawati di Taman Harmonis Gombak semalam mendapati pintu pagar rumah tersebut bertutup dan tidak nampak seperti suasana berhari raya.

Seorang lelaki yang merupakan pekebun di rumah berkenaan yang enggan dikenali memberitahu, keluarga Sosilawati masih belum mendapat apa-apa perkembangan berkenaan kehilangan jutawan itu daripada pihak polis.

Katanya, pihak keluarga juga itu enggan diganggu. Beliau memberitahu, hari raya tetap disambut meskipun tanpa adanya tuan rumah.

~dipetik dari kosmo!~

Wednesday, 8 September 2010

Kes sosilawati : Suami dengar suara cemas



KUALA LUMPUR: “Kau nak bawa aku ke mana ni?” Itu suara cemas Datuk Sosilawati Lawiya didengar kali terakhir suaminya melalui panggilan telefon yang dibuat jutawan kosmetik berkenaan sebelum ia terputus.
Suaminya, seorang ahli perniagaan dari Indonesia mendengar Sosilawati mengulangi pertanyaan itu berulang kali. Selepas panggilan telefon itu terputus, suami pengasas syarikat Nouvelle Visages (NV) itu cuba menghubungi telefon bimbit Sosilawati, namun gagal.

Sumber polis berkata, Sosilawati dipercayai cuba menghubungi suaminya yang berusia 40-an itu untuk meminta bantuan pada hari dia dilaporkan hilang.

“Difahamkan, dia turut menghantar SMS kepada anak sulungnya (Erni Dekritawati Yuliana Buhari, 25,) supaya tidak membenarkan seorang kenalan terdekatnya memasuki rumahnya di Gombak, Selangor.

“Malah, mangsa sempat menghantar SMS kepada anaknya mendakwa dia percaya gambar dirinya diambil secara curi atas motif tertentu,” katanya.

Difahamkan, polis sudah mengambil keterangan keluarga terdekat Sosilawati selain isteri peguamnya, Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dan isteri pegawai kredit CIMB Bank, Noorhisham Mohammad, 38, yang didapati hilang bersama jutawan terbabit pada 30 Ogos lalu.

“Berdasarkan siasatan, Sosilawati pernah beberapa kali pergi ke Banting, Selangor, untuk bertemu seorang peguam yang menguruskan soal jual beli tanah milik mangsa.

“Difahamkan, peguam warga tempatan itu pernah dilihat rakan karib Sosilawati bertemu peguam berkenaan. Malah, Sosilawati didakwa turut pernah mengambil beberapa cek daripada peguam berkenaan,” katanya.

Difahamkan, Sosilawati kali terakhir bertemu peguam berkenaan bagi menguruskan penjualan tanahnya di Pulau Pinang membabitkan nilai jutaan ringgit pada awal Ogos lalu.

Sementara itu, Erni Dekritawati menafikan keluarganya menawarkan sebarang wang tebusan bagi tujuan membebaskan ibunya daripada pihak yang melarikan mangsa bersama tiga individu lain.

Menurutnya, maklumat itu tidak tepat dan boleh memburukkan keadaan.
“Tiada sebarang tawaran wang tebusan disediakan dan kami meletakkan semua harapan kepada polis bagi menyiasat kes ini. Saya yakin polis melakukan segala yang boleh bagi menyelesaikan kes ini.

“Kami adik-beradik terus berdoa supaya emak selamat dan kembali semula ke pangkuan keluarga,” katanya.

Dalam kejadian jam 6 petang, 30 Ogos lalu, Sosilawati dilaporkan hilang selepas keluar dari pejabatnya di Jalan Raja Bot, Chow Kit, di sini, dipercayai hendak ke Banting, bagi menemui peguam di sana.

Bagaimanapun, Sosilawati yang menaiki dua kenderaan berasingan bersama tiga individu lain yang mempunyai kaitan dengan perniagaannya dilaporkan lesap sebelum anak mangsa membuat laporan kehilangannya di Balai Polis Dang Wangi di sini, Khamis lalu selepas ibunya tidak pulang ke rumah.

~ dipetik dari harian metro

Monday, 6 September 2010

Misteri kehilangan Jutawan Nouvelle Visages Sosilawati


selalu kes2 hilang yg kiter dgr smua berkaitan ngan budak2
tapi hari ni kite dengar pasal mak budak yg ilang..
hailaaa... adekah die menghilangkan diri? dihilangkan? atau terhilang?
wallahualam..

mcm mana boleh hilang? and ape yg terjadi?
sama2 kite ikuti kes die nanti..
semoga beliau selamat kembali ke pangkuan keluarga
jap3..ade lagi yg masih x kenal sosilawati ni?
beliau adalah pengasas kepada sebuah produk kecantikan yg terkenal di malaysia
dan merupakan bekas isteri kepada penyanyi Nash..

sape2 yg masih x kenal sila2 lah google2 sendiri yerk..
hehe.. masa dengar kes kehilangan sosilawati ni, aku pun terkejut..
sbb jrg dgr kes2 org kenamaan ni hilang..

td pun tau sbb baca paper..
kalau ade yg x sempat nak baca paper td, sila klik sini
Related Posts with Thumbnails